Kegemukan atau Obesiti boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil? Ikuti penerangan ini..

loading...
Kegemukan atau Obesiti boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil? Ikuti penerangan ini..
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mendamba kehadiran cahaya mata. Sama ada cepat atau menangguhkan dahulu peluang untuk melahirkan anak, terpulang kepada pasangan masing-masing. Namun, tahun berganti tahun hasrat menimang cahaya mata masih tidak kunjung tiba. Usai rawatan di klinik Obstetrik dan Ginekologi doktor menyarankan agar menurunkan berat badan. Apa kaitan berat badan dengan kehamilan?
Masalah obesiti ini bukan sekadar memberi kesan kepada rupa paras fizikal dan emosi semata-mata, bahkan turut menyebabkan banyak masalah kesihatan termasuk masalah kesuburan wanita. Di kalangan yang mampu hamil, komplikasi lain sepanjang kehamilan boleh timbul disebabkan atau dikaitkan dengan obesiti.
Mengapakah obesiti boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil?
Tisu adipos (tisu lemak) adalah merupakan salah satu organ endokrin (penghasilan hormon) yang aktif. Ketidakseimbangan fungsi organ endokrin di kalangan wanita obes ini akan menyebabkan kerintangan kepada hormon insulin (insulin resistance) dan penambahan hormon androgen (hormon seksual lelaki). Perubahan ini akan merencat proses ovulasi (perlepasan telur dari ovari) yang akhirnya membuatkan wanita tidak subur.
Kebanyakan wanita ini turut mengalami masalah haid yang tidak teratur, tidak datang haid dalam tempoh masa yang panjang (amenorrhea) atau haid yang terlalu sedikit (oligomenorrhea). Adakalanya haid terlalu kerap atau berpanjangan hingga menyebabkan anaemia (kurang darah). Selain menyebabkan perencatan proses perkembangan, kematangan dan perlepasan telur (ovulasi), obesiti juga dipercayai memberi kesan negatif kepada kualiti telur (oosit) dan penerimaan dinding rahim.
Apa perlu dilakukan bagi wanita obes yang merancang untuk hamil?
Ramai wanita merasakan berat badan yang berlebihan ini adalah perkara biasa terutamanya  jika orang di sekeliling seperti suami, keluarga dan rakan-rakan turut mempunyai masalah yang sama. Adakala mereka membandingkan diri dengan wanita obes lain yang tidak mempunyai masalah kesuburan atau belum menghidapi sebarang masalah kesihatan lain. Oleh itu mereka merasakan tidak ada keperluan untuk menurunkan berat badan.
Kajian telah menunjukkan penurunan berat badan sebanyak 10 peratus akan merangsang proses ovulasi secara semulajadi. Ramai dapat melihat kitaran haid mereka menjadi lebih baik dan terdapat juga yang berjaya hamil secara semulajadi.
Penurunan berat badan sememangnya merupakan rawatan utama. Selain membantu meningkatkan kesuburan secara semulajadi, ianya juga membantu meningkatkan keberkesanan ubat-ubat kesuburan yang digunakan.  Sekiranya mereka berjaya hamil, risiko-risiko kesihatan sepanjang kehamilan akan lebih berkurangan.
Wanita yang mempunyai masalah obesiti sememangnya disarankan mengambil langkah serius untuk menurunkan berat badan mereka. Perubahan yang besar perlu dilakukan terhadap gaya hidup, pemakanan sihat disamping menjalani senaman yang teratur dan efektif.
� Pemakanan yang sihat bukan bermaksud mengelak makan tetapi menjaga kualiti dan kuantiti pemakanan tersebut. Mula belajar untuk mengira jumlah kalori pemakanan seharian, catat dan kaji diari pemakanan sendiri.
� Bersenam juga adalah keperluan mandatori seiring dengan penjagaan diet. Ramai yang kecewa dan tidak dapat bertahan lama dengan perubahan diet sahaja. Kadar metabolik badan akan kekal rendah tanpa senaman dan lemak-lemak badan ini sangat sukar disingkirkan.
Senaman akan meningkatkan kadar pembakaran lemak di samping mula membina otot-otot yang akan terus kekal meningkatkan kadar metabolik badan walaupun semasa rehat. Cari dan amalkan senaman yang praktikal, sesuai dan disukai agar ianya boleh dilakukan setiap hari. Beban kerja harian bukanlah alasan untuk mendapatkan 20 ke 30 minit untuk bersenam setiap hari.
Senaman di rumah sama ada menggunakan alat, mesin senaman atau semudah melakukan aerobik mahupun tarian berpandukan pita video boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, walaupun seawal pagi atau lewat malam.
� Penggunaan ubat-ubat untuk menurunkan berat badan, turut serta dalam program-program pelangsingan badan dan pembedahan bukanlah perkara mudah selain melibatkan kos yang sangat tinggi. Kaedah ini adakala mendatangkan risiko dan kesan sampingan. Mungkin tidak berkekalan sekiranya gaya hidup sihat tidak diamalkan. Walau bagaimanapun rawatan ini mungkin diperlukan bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti yang serius (BMI >40-45).
Ubat seperti Metformin/Glucophage kerap digunakan untuk rawatan pesakit PCOS yang obes. Selain membantu mengurangkan masalah kerintangan terhadap hormon insulin dan mengurangkan hormon androgen dalam darah, ianya juga akan mengurangkan penyerapan karbohidrat yang mungkin akan membantu dalam penurunan berat badan secara tidak langsung. Selain itu Metformin juga dapat meningkatkan keberkesanan ubat kesuburan seperti Clomiphene.
� Selain penurunan berat badan dan menjalani rawatan kesuburan, wanita yang merancang untuk hamil perlu mengambil asid folik beberapa bulan sebelum memulakan usaha kehamilan. Sekiranya mereka sudah menghidapi penyakit-penyakit seperti diabetes, darah tinggi mahupun kolesterol yang berlebihan, penyakit-penyakit ini perlu dikawal terlebih dahulu. Adakalanya ubat-ubat yang diambil perlu ditukar, penilaian dan nasihat dari doktor yang merawat mereka turut diperlukan.
Obesiti adalah masalah kesihatan yang serius. Selain menganggu keupayaan wanita untuk hamil, ianya juga boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan. Selain itu boleh menjejaskan kesihatan wanita secara amnya dan menjadi punca kepada beberap jenis kanser. Oleh itu wanita obes perlu melakukan perubahan besar.
loading...

0 Response to "Kegemukan atau Obesiti boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil? Ikuti penerangan ini.."

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close